Keputusan pilihan raya Pilihan_raya_umum_Malaysia_1969

Dalam pilihan raya umum ini, Parti Perikatan yang dianggotai oleh UMNO-MCA-MIC telah mengalami kekalahan yang amat teruk. Walaupun parti campuran ini memperoleh 95 kerusi berbanding 89 kerusi dalam pilihan raya yang lain, ini hanya merupakan 66% daripada Dewan Rakyat yang kini telah diperluaskan. Dengan kata yang lain, Parti Perikatan telah hilang majoritinya buat pertama kali dalam Dewan Rakyat untuk membentuk kerajaan. Bagaimanapun, ini bukan merupakan satu masalah yang besar disebabkan parti campuran ini hanya memerlukan lagi seorang sahaja daripada parti pembangkang ataupun calon bebas untuk mencapai majoriti dua pertiga yang diperlukan oleh Perlembagaan untuk meneruskan pemerintahan. Jumlah undi yang diperoleh oleh Parti Perikatan juga jatuh daripada 58.5% pada tahun 1964 ke 49.3% dalam pilihan raya ini, iaitu satu penurunan sebanyak 15.7%.

Pada keseluruhannya, parti-parti pembangkang memenangi 50.7% daripada jumlah undi, serta 49 kerusi dalam Dewan Rakyat. Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) dan Parti Tindakan Demokratik (DAP) yang berkempen atas manifesto yang menentang hak istimewa Bumiputera yang ditetapkan oleh Artikel 153[2], [3] dalam Perlembagaan Malaysia memperoleh kenaikan undi yang utama. Gerakan, DAP, dan Parti Progresif Rakyat (PPP) menang 25 buah kerusi dalam Dewan Rakyat, manakala PAS menang 12 kerusi.

Selepas keputusan pilihan raya diumumkan, Gerakan dan DAP mengadakan perhimpunan kemenangan mereka di ibu negara, Kuala Lumpur pada 12 Mei tetapi perhimpunan itu menjadi hiruk-pikuk, dengan ahli-ahli menjerit julukan-julukan perkauman terhadap orang-orang Melayu yang berada di tempat perhimpunan ini. UMNO bertindak balas dengan perhimpunan sendiri pada 13 Mei, tetapi perhimpunan ini kemudian merosot menjadi rusuhan besar-besaran. Rusuhan ini kini dikenali sebagai Peristiwa 13 Mei.

Berkaitan